Post ni Dari Blog Sahabat Team
Siapalah Penyokongmu Untuk Gerak Kerja Islam Ini
Allah berfirman kepada Nabi Musa: “Pergilah kepada Firaun, sesungguhnya dia telah melampaui batas.” Dalam menyahut perintah ini, perkara pertama yang dilakukan oleh Nabi Musa ialah berdoa: “Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku dadaku, dan mudahkanlah bagiku tugasku, dan lepaskanlah simpulan dari lidahku supaya mereka faham perkataanku.” [Taha 20:24-28]
Doa yang dibacakan oleh Nabi Musa di atas kerap dibacakan juga oleh para penceramah sebelum mereka ingin memulakan kuliah. Ini adalah doa yang baik kerana sebagai penceramah, kita memang inginkan agar dapat bercakap secara jelas lagi lancar supaya difahami dengan tepat oleh para hadirin.
Walaubagaimanapun doa di atas tidak terhad kepada urusan kuliah agama sahaja. Jika diperhatikan keseluruhan konteks doa, ia sepatutnya kita baca dalam pelbagai urusan lain. Kita berdoa dengan doa Nabi Musa ini agar dada kita lapang menjalani sesuatu urusan dan urusan itu pula menjadi mudah bagi kita. Dalam setiap urusan kita berinteraksi dengan orang lain, maka kita berdoa agar interaksi tersebut adalah jelas dan lancar supaya difahami oleh pihak terbabit.
Di sebalik berdoa ini, terkesan satu pengajaran penting dalam tindakan Nabi Musa. Iaitu perkara pertama yang dilakukan apabila ingin melakukan sesuatu urusan ialah berhubung dengan Allah melalui doa. Ini menjadi peringatan kepada saya dan para pembaca sekalian kerana kerap kali kita terlalu fokus, terlalu bersemangat ke atas urusan yang ingin kita lakukan sehingga terlupa untuk berhubung dengan Allah. Padahal tercapai atau tidak, berjaya atau tidak urusan yang ingin kita lakukan itu bergantung kepada kehendak Allah jua.
Nabi Musa tidak berhenti setakat di atas sahaja. Beliau menyambung doanya: “Dan jadikanlah bagiku seorang penyokong (wazir) dari keluargaku, iaitu Harun saudaraku. Kuatkanlah dengan sokongannya, pendirianku dan jadikanlah dia turut campur bertanggungjawab dalam urusanku.” [Taha 20:29-32] Dalam apa jua urusan yang kita lakukan, jika ada penyokong sudah tentu ia akan memudahkannya. Penyokong dapat berperanan memberi sokongan, motivasi, nasihat, idea dan kerjasama.
Ini dapat juga kita lihat dalam sirah Rasulullah. Suasana terkejut lagi takut mendapat beberapa wahyu pertama dikongsikan bersama seorang penyokong, iaitu isteri baginda Khadijah. Khadijah tidak meremehkan peristiwa yang dialami suaminya, tidak mentertawakan mahupun memarahi keanehan sikap suaminya, akan tetapi memberi sokongan yang padu sehingga baginda menjadi tenang lagi yakin menerima jawatan seorang Rasul Allah.
Seterusnya dalam sirah Rasulullah ada para penyokong yang lain seperti Abu Bakar al-Siddiq dan para sahabat yang lain. Mereka mengorbankan harta dan keluarga untuk menjadi penyokong Rasulullah dalam membela dan menyebarkan Islam. Semua ini memberi pengajaran kepada kita betapa pentingnya penyokong dalam sesuatu urusan sama ada sedikit atau banyak jumlahnya.
Penyokong yang dimaksudkan bukanlah mereka yang kaki mengampu, mengambil kesempatan atau ada tujuan keuntungan peribadi, akan tetapi penyokong seperti yang didoakan oleh Nabi Musa: “Kuatkanlah dengan sokongannya, pendirianku dan jadikanlah dia turut campur bertanggungjawab dalam urusanku.”
Sesuatu yang tidak dapat diabaikan dalam doa Nabi Musa di atas adalah, beliau tidak berdoakan penyokong yang ramai. Beliau tidak mendoakan satu jamaah tetapi seorang penyokong. Dengan penyokongnya – iaitu Harun – mereka berdua pergi berdakwah kepada Firaun yang terkenal hebat dengan sifat zalim. Di sini terdapat pengajaran bahawa syarat penting untuk berdakwah dan melakukan kerja-kerja Islam bukanlah jamaah yang ramai seperti yang dilaung-laungkan oleh sebahagian. Akan tetapi memadai dengan kuantiti yang minimum asalkan dengan kualiti yang maksimum.
Penyokong Dalam Berhubung Dengan Allah.
Nabi Musa meneruskan doanya: “Supaya kami sentiasa beribadat dan memuji-Mu dan (supaya) kami sentiasa menyebut dan mengingati-Mu. Sesungguhnya Engkau adalah sedia melihat dan mengetahui hal ehwal kami.” [Taha 20:33-35]
Alangkah baiknya doa Nabi Musa ini. Beliau tidak inginkan sebarang penyokong, tetapi penyokong yang dapat membantu dan mengingatkannya untuk berhubung dengan Allah. Alangkah tepatnya doa Nabi Musa ini. Kerap kali apabila kita melakukan sesuatu urusan, kita lupa kepada Allah. Kita menangguhkan solat, jarang-jarang mengingati perintah larangan Allah berkenaan urusan yang sedang dilakukan, lalai dari berzikir dan tidak sedar bahawa Allah melihat apa yang sedang kita lakukan.
Keutamaan memiliki penyokong seperti yang didoakan oleh Nabi Musa hampir senada dengan peringatan Rasulullah dalam hadis berikut: “Sesungguhnya perumpamaan sahabat yang salih dan sahabat yang buruk hanyalah seumpama pembawa minyak wangi dan peniup tungku api seorang tukang besi. Bagi pembawa minyak wangi, boleh jadi sama ada dia memberinya kepada kamu (minyak wangi) atau kamu membeli daripadanya (minyak wangi) atau kamu mendapat bau harum daripadanya. Bagi peniup tungku api seorang tukang besi, boleh jadi sama ada ia akan membakar pakaian kamu (kerana kesan tiupan api) atau kamu mendapat bau yang tidak sedap daripadanya (bau besi).” [Shahih Muslim, no: 2628]
Selesai Nabi Musa berdoa, Allah berfirman: “Sesungguhnya telah diberikan kepadamu apa yang engkau pohonkan itu, wahai Musa!” [Taha 20:36] Semoga kita juga berdoa sebagaimana Nabi Musa berdoa apabila ingin melakukan sesuatu urusan. Semoga Allah mengurniakan kita penyokong atau penyokong-penyokong yang memiliki ciri-ciri positif yang disebut oleh Nabi Musa. Tidak dilupakan, semoga kita juga menjadi penyokong kepada sesama umat Islam, baik isteri, suami, anak-anak, saudara-mara, jiran, rakan kerja dan sebagainya dengan ciri-ciri positif yang disebut oleh Nabi Musa.
No comments:
Post a Comment