twitterku

One Side Of Our World

One Side Of Our World

Thursday, August 11, 2011

Kongsi...^^p

~Aku Insan Hina Dina...mengharap Kasih sayang-Nya & Redha -Nya ~

by Mohd Fadli Yusof on Wednesday, August 10, 2011 at 1:05pm
Ada kawan-kawan bertanya, "Bagaimana keadaan Kristian di Sabah, dengarnya kuat? Ini kami dengar dari orang-orang yang pernah bertugas di sana."

Bas mini.

Saya hanya tersenyum. Ini jawapan saya.

"Kalau ibaratkan dua buah kereta, yang pertama berkuasa turbo, 4WD lagi, boleh berjalan hingga kelajuan 200km sejam. Dan sebuah lagi kereta lama yang agak masih boleh berjalan 100km sejam. Tetapi kereta lama terus berjalan tidak berhenti, walaupun agak perlahan, malah lebih perlahan dari sepatutnya. Sedangkan kereta turbo tadi berjalan sekejap, kemudian berhenti lama, kemudian berjalan balik dengan kelajuan tidak sampai 50km sejam. Apa yang anda fikir?"

Begitulah keadaan Islam dan Kristian di sana. Kristian tidaklah sekuat mana, namun mereka tetap bergerak tanpa henti. Mereka sanggup mendaki bukit, meredah hutan, meranduk paya demi menyampaikan apa yang mereka yakini. Tidak ramai pendakwah, atau yang ada keinginan menyampaikan Islam sanggup berbuat seperti mereka berbuat. Ini yang menjadikan mereka nampak kuat.

Papantanda begini ada di mana-mana.

Seperkara lagi, mereka menampakkan palang salib di mana-mana sahaja. Di tepi jalan, di atas bukit, di dalam hutan. Inilah syiar mereka. Kerana itu mereka nampak kuat. Mereka bina gereja kecil (chapel) walaupun hanya dua tiga orang sahaja yang menggunakannya.

Kita? Nak nampakkan syiarpun takut. Nak letak kopiah atas kepalapun tidak berani. Lebih-lebih lagi nak tegakkan solat berjemaah secara istiqamah setiap waktu. Sedangkan itulah syiar besar kita setiap hari.

Mari saya ceritakan, seorang kawan bernama Kasim.

Siapa Kasim?

Ketika kami berulang alik dari bandar Keningau ke pedalaman, Kampung Sinulihan Baru, seringkali kami menumpang van (bas mini kata orang sana) kepunyaan Kasim. Sepanjang beberapa kali perjalanan panjang itu, dapat dikenali, rupanya Kasim adalah padri Kristian di kampung Sinulihan Baru. Gereja kecilnya (chapel) terletak di atas bukit.

Di Sabah, terutama di pedalaman, penggunaan nama Islam kepada penganut Kristian bukanlah pelik, walaupun agak janggal bagi kita. Begitu juga sebaliknya, kedapatan anak-anak muda yang bernama Jimmy, Benedict, tetapi mereka Islam. Ini kesan dari pengislaman.

Penggunaan nama Islam oleh Kristian kerana pengIslaman beramai-ramai satu waktu dahulu. Terlalu ramai yang kembali ke agama asal (murtad) kerana kurangnya follow-up dan didikan dari para pendakwah Islam. Akhirnya mereka mengekalkan nama seperti yang didaftarkan ketika Islam.

Penggunaan nama Kristian bagi orang Islam, kerana pengIslaman yang baru. Mereka kebanyakannya memeluk Islam, menghadapi kesukaran menukar nama, terutama yang berumur di bawah 21 tahun. Atau kerana mereka masih berahsia dengan keluarga.

Di bukit itulah selalu Kasim melakukan rutin ritual agama mereka setiap hari Sabtu. Mengapa Sabtu, bukan Ahad?. Kasim sebenarnya menganut mazhab Seventh Day Adventist (SDA). Dia seorang pengikut yang taat, tidak minum arak dan berpuasa setiap hari Sabtu.

Setiap kali kami menganjurkan kursus kefahaman Islam, biasanya 3 hari 2 malam di sana, Kasimlah antara orang yang sibuk membantu. Kerja beliau berkempen dan mengangkut seramai-ramai anak-anak muda dari pelbagai ceruk kampung-kampung berdekatan, agar turut sama menghadiri kursus.


Sebuah Chapel di Pedalaman Sabah.


Ceramah di gereja

Kami juga biasa beberapa kali dijemput oleh Kasim ke gereja...

Untuk apa kami ke gereja? Rupanya Kasim mengharap agar kami dapat menyampaikan Islam kepada pengikutnya. Beberapa sesi sempat diadakan. Setiap kali selesai "Ibadat Sabda", amalan ritual mereka, Kasim berkata:

"Hari ini ada ustaz bersama kita. Hari ini kita boleh tanya apa sahaja tentang Islam. Jika ada yang mahu Islam, silakan!"

Maka saya wakilkan Ustaz Arabi (seorang bekas padri) untuk berdakwah di situ. Layak sangat kerana beliau amat berpengalaman dalam agama anutannya dahulu.

Ada ketika terdetik di hati saya, adakah hatinya telah hampir kepada Islam? Adakah hidayah Allah telah tiba?

Tanpa ditanya, pernah dalam satu perbualan peribadi, Kasim nyatakan yang beliau tidak boleh memeluk Islam, kerana dia pemimpin gereja di situ. Akan tetapi tidak akan menghalang sesiapa sahaja pengikutnya yang ingin memeluk Islam.

Situasi ini mengingatkan saya kepada seorang Raja Habsyah, Najasyi. Sebelum Islamnya, pernah berkata begitu, tidak masuk Islam kerana dia raja di Habsyah. Beliau beri perlindungan kepada para sahabat yang mementa pertolongan di negerinya. Sehinggalah Rasulullah mengutus surat secara peribadi kepadanya, melalui utusan Amr bin Umayyah ad-Dhamri r.a.


Suasana perjalanan.


******************************

Surat Rasulullah ﷺ Kepada Najasyi, Raja Habsyah

Ibnul Ishaq menceritakan, "Rasulullah ﷺ mengutus Amr bin Umayyah ad-Dhamri r.a. untuk membawa surat kepada raja Najasyi sehubungan dengan keadaan Ja’far bin Abi Thalib dan teman-temannya di sana. Isi surat itu adalah sebagai berikut:

Bismillaahir Rahmaanir Rahiim

Dari Muhammad Rasulullah kepada Najasyi Ash-ham raja Habsyah

Salam sejahtera bagimu

Aku memuji engkau kepada Allah Yang Maha Suci lagi Perkasa, dan aku bersaksi bahwa Isa a.s. adalah ruh Allah dan kalimah-Nya yang dicampakkan kepada Mariam seorang perawan suci, bersih, dan terjaga.

Mariam mengandung Isa a.s. Kemudian Allah menciptakan Isa a.s. dari ruh-Nya dan ditiupkan-Nya ruh itu (ke dalam jasadnya) sebagaimana Adam a.s. yang diciptakan Allah langsung dengan Tangan-Nya dan ditiupkanNya ruh (ke dalam tubuhnya).

Kini aku mengajak engkau (untuk menyembah) Allah Yang Maha Esa dan tidak ada sekutu bagi-Nya dan terus-menerus mentaatiNya serta mengikuti aku. Juga engkau mempercayaiku dan ajaran-ajaran yang diturunkan-Nya padaku bahawa aku adalah utusan-Nya.

Aku telah mengutus kepadamu saudaraku yang bernama Ja’afar bersama serombongan kaum muslimin. Apabila mereka telah sampai ke hadapanmu, maka layanilah mereka sebaik-baiknya dan tinggalkanlah kesombongan.

Aku mengajak engkau dan seluruh tenteramu kepada (agama) Allah. Sungguh telah aku sampaikan risalah dan nasihatku, maka terimalah ajakan dan nasihatku ini!

Salam sejahtera bagi siapa saja yang mengikuti hidayah


Surat Balasan Raja Najasyi kepada Nabi ﷺ.


Setelah menerima surat dari Nabi ﷺ maka raja Najasyi menulis surat balasan kepada beliau sebagai berikut :

Bismillaahir Rahmaanir rahiim


Untuk Muhammad Rasulullah ﷺ dari Najasyi Asham bin Abjar


Salam sejahtera, rahmat, dan keberkahan dari Allah semoga tercurah kepada engkau, wahai Nabi Allah.

Tidak ada tuhan selain Dia yang telah memberikan petunjuk kepada aku untuk masuk Islam.

Wahai Rasulullah, surat engkau telah sampai padaku yang mana di dalamnya engkau telah menerangkan tentang perkara Isa.

Demi Tuhan Pemelihara langit dan bumi, sesungguhnya Isa tidak lebih dari apa yang telah terangkan dalam suratmu. Aku telah mengetahui tentang utusan yang engkau hantarkan kepada kami, dan mengenai saudara engkau serta teman-temannya, aku telah melayani mereka dengan pelayanan yang baik.

Oleh kerana itu aku bersaksi bahawasanya engkau adalah utusan Allah yang benar dan dibenarkan, dan aku berbai’at kepadamu juga kepada saudaramu serta aku masuk islam ditangannya semata-mata kerana Allah Penguasa alam semesta.

Wahai Nabi Allah, aku juga telah mengutus kepada engkau Ariha bin Ash-Ham bin Abjar, kerana sesungguhnya aku tidak berkuasa kecuali pada diriku sendiri. Tetapi jika engkau menyuruhku untuk datang sendiri kepada engkau, pasti aku bersedia wahai Rasul Allah, kerana sesungguhnya aku bersaksi bahawa segala yang engkau katakan itu adalah benar."

(HR. Baihaqi, seperti disebutkan dalam kitab al-Bidayah jilid III halaman 87)

**************************

Doa saya agar satu hari nanti Kasim akan mendapat hidayah, sepertimana Allah telah memberi hidayah kepada Raja Najasyi, Asham bin Abjar. Amin.

محمد فضلي بن يوسف
10 Ramadhan 1432H
10 Ogos 2011

Silakan share

(Jika ingin kongsikan di blog, atau di copy paste ke nota anda, sila nyatakan nama saya dan buat pautan ke FB saya, agar saya mudah menjawab segala persoalan yang timbul dari artikel ini. Link terus ke FB saya: http://facebook.com/mfadli11 atau ke note ini, http://www.facebook.com/note.php?note_id=10150339829726719)

Saya sudah membuat nota Cara Membina Link dan Share Nota FB, harap dapat membantu untuk share nota-nota saya untuk diri sendiri dan kawan-kawan.

Berumrah bersama kami - Bimbingan dan tarbiyah sepanjang jalan.  Rabbani Travel & Tours Sdn Bhd, hubungi saya 012-4962812, Mohd Fadli Yusof.